‘Kami juga lebih selesa tanpa Azmin’

0
3

KEADILAN juga lebih selesa tanpa Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, kata Ketua Angkatan Muda Keadilan Selangor, Najwan Halimi.

Najwan, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Anggerik berkata demikian sebagai reaksi terhadap kenyataan bekas Timbalan Presiden PKR bahawa beliau lebih selesa bersama Umno dan PAS berbanding Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Alhamdulillah, kami dalam KEADILAN pun lebih selesa tanpa anda,” tulis Najwan menerusi ciapan di Twitter.

Semalam, Mohamad Azmin dilaporkan berkata beliau lebih selesa bekerjasama dengan Umno dan PAS berbanding bersama Anwar yang juga Presiden PKR.

Menurutnya, perebutan jawatan antara Anwar dan Tun Dr Mahathir Mohamad membuatkan beliau serta rakyat bosan kerana diheret sama ke dalam pertelingkahan yang berlarutan selama lebih 20 tahun itu.

Justeru, beliau menjelaskan dirinya bersama beberapa Ahli Parlimen lain mengambil keputusan untuk tidak lagi bersama Pakatan Harapan (PH), sebaliknya menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, tindakan terbabit juga adalah sebagai langkah untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil di mana mampu memenuhi hasrat dan keperluan rakyat Malaysia secara keseluruhannya. – Malaysiapost