MKB platform tertinggi perkukuh sosioekonomi Bumiputera – PM

0
3

KEPUTUSAN kerajaan mewujudkan Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) adalah sebagai platform tertinggi untuk memperbaharui dan memperkukuh pembangunan sosioekonomi Bumiputera, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata kerajaan sentiasa komited untuk terus memperkasa agenda Bumiputera sebagai agenda nasional.

Ini kerana, katanya, kerajaan mendapati meskipun pelbagai usaha dilakukan dan kejayaan dicapai, namun kedudukan sosioekonomi Bumiputera masih perlu dilonjakkan.

“Secara perbandingan, tahap kemiskinan Bumiputera adalah 7.2 peratus pada 2019 berbanding kaum lain. Kadar pengangguran Bumiputera bagi suku kedua 2020 pula 5.2 peratus, berbanding Purata Nasional 5.1.

“Pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat pula cuma berada pada tahap 16.2 peratus pada 2015 berbanding bukan Bumiputera 30.7 peratus dan pegangan asing sebanyak 45.3 peratus,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Perdana Menteri berkata MKP akan dipengerusikan beliau dan dianggotai beberapa anggota Jemaah Menteri, Ketua Setiausaha Negara, Ketua Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan tokoh perniagaan Bumiputera.

MKB, katanya, akan bertindak sebagai platform tertinggi dalam usaha memperkasa pembangunan sosio-ekonomi bumiputera dan ia juga sebahagian kerangka intervensi strategik untuk memandu dan mempercepat pemerkasaan ekonomi Bumiputera melalui usaha peningkatan kapasiti dan keupayaan merentas pelbagai program.

“Bagi memastikan majlis ini mencapai objektif penubuhannya, ia akan didokong dua jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Pemandu yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) dan Jawatankuasa Kerja dipengerusikan Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU).

“Kedua-dua jawatankuasa ini akan bersidang secara berkala serta melibatkan semua agensi pelaksana berkaitan. Malah, Jawatankuasa Pemandu Majlis ini bersidang buat kali yang pertama pada 11 Ogos 2020,” katanya.

Beliau berkata TERAJU telah diberi mandat sebagai Agensi Penyelaras Utama bagi intervensi strategik, inisiatif dan program Pembangunan sosioekonomi Bumiputera, serta pembangunan pangkalan data Bumiputera, yang merentasi semua kementerian, agensi dan GLC.

“Kerajaan akan memperkemas dan menambahbaik pangkalan data berpusat Bumiputera bagi mengumpul maklumat terkini, lengkap dan berkualiti bagi perancangan dasar dan intervensi strategik yang akan dipacu oleh MKB ini.

“Pencapaian kementerian, agensi dan GLC dalam menggerakkan agenda pemerkasaan Bumiputera akan dipantau dan dinilai melalui satu rangka kerja Indeks Prestasi Utama (KPI) yang bakal melibatkan semua ketua agensi berkaitan,” katanya. – Malaysiapost