Agong, Permaisuri zahir tahniah kepada Azizulhasni

0
2

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Azizulhasni Awang atas kejayaan merangkul pingat perak buat negara di Sukan Olimpik Tokyo, hari ini.

Menerusi hantaran Facebook Istana Negara memaklumkan, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga di atas kejayaan Azizulhasni membawa pulang pingat perak buat kontinjen negara di kejohanan sukan terbesar dunia, sekali gus melakar sejarah buat sukan lumba basikal trek negara dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

“Seri Paduka Baginda berdua menyifatkan pencapaian Muhammad Azizulhasni ini sebagai pencapaian yang amat bermakna kepada Malaysia.

“Semestinya seluruh rakyat Malaysia amat berbangga dengan aksi dan semangat tidak mudah mengalah yang ditunjukkan oleh Muhammad Azizulhasni,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Seri Paduka Baginda berdua juga menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan barisan kejurulatihan pasukan basikal trek negara serta seluruh kontinjen negara dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan semoga semua atlet negara akan memperoleh kejayaan cemerlang dan mengharumkan nama negara di kejohanan-kejohanan mendatang,” katanya.

Terdahulu, Azizulhasni merangkul pingat perak buat Malaysia di peringkat akhir acara keirin lelaki di Izu Velodrome in Shizuoka, Olimpik Tokyo.

Untuk rekod, Azizulhasni, 33, sebelum ini pernah meraih gangsa di Olimpik Rio 2016. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here