KKM siasat petugas silap beri suntikan vaksin berbeza

0
2
Botol vaksin AstraZaneca di PWTC.

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan menyiasat dakwaan kesilapan petugas memberi suntikan vaksin berbeza kepada seorang penerima di Kedah Khamis lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata biarpun belum ada laporan rasmi dibuat dari penerima vaksin itu, pihaknya memandang serius perkara berkenaan.

“Berhubung dakwaan yang tular seperti laporan media semalam, kementerian masih belum menerima laporan dari Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah dan sekiranya perkara ini berlaku sudah pasti JKN Kedah akan memaklumkan kepada kita.

“Namun begitu satu siasatan menyeluruh akan dilakukan berhubung dakwaan itu dan sehingga hari ini, belum ada laporan diterima kementerian dari penerima vaksin itu.

“Di Malaysia kita tidak pernah dan tidak bercadang mengamalkan suntikan dua jenis vaksin berbeza , namun di luar negara seperti United Kingdom kajian campuran Astra Zeneca dan Pfizer telah dibuat dan ia tidak mendatangkan sebarang kesan kepada penerimanya,” katanya memetik Berita Harian.

Dr Noor Azmi, satu kajian akan dibuat berhubung pemberian dos ketiga dari jenis vaksin berbeza namun ia masih dalam peringkat perbincangan sebelum dilaksanakan.

Tambahnya menyedari keletihan dan bebanan kerja petugas di PPV, pihaknya menasihatkan agar petugas bahagian suntikan lebih berhati-hati dan memeriksa jenis vaksin dan kandungan dos sebelum melakukan suntikan kepada penerima.

Katanya petugas bahagian suntikan juga perlu menunjukkan kandungan vaksin yang terdapat dalam picagari sebelum dan selepas suntikan bagi mengelakkan sebarang masalah berbangkit seperti beberapa kes yang berlaku sebelum ini.

Terdahulu, tular di media sosial seorang wanita berusia 30 tahun mendakwa ibunya berusia 58 tahun menerima suntikan dos kedua vaksin berbeza berbanding yang pertama.

Dalam hantaran itu dia mendakwa ibunya yang terdahulu menerima vaskin jenis Pfizer telah disuntik vaksin jenis Sinovac pada Khamis lalu di PPV Dewan Al Hana, Sik Kedah.

Bagaimanapun wanita berkenaan selepas menerima suntikan dos kedua itu, dia mendakwa ibunya tidak mengalami sebarang kesan memudaratkan dan tidak mahu memanjangkan perkara itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here