BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempertikaikan tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang membuat pinjaman mencecah RM160 bilion sejak Januari lalu.
Beliau secara sinis berkata, semakin PN hilang keabsahan semakin besar jumlah pinjaman yang dibuat kerajaan termasuk RM4 bilion yang dibuat minggu ini.
“Minggu lepas (30 Julai) pinjam RM5.5 bilion. Bayar balik tahun 2030. Minggu ini (6 Ogos) pinjam RM4 bilion. Bayar balik tahun 2050.
“Makin hilang keabsahan, makin laju dan makin besar jumlah dipinjam kerajaan PN,” katanya dalam hantaran Facebook.
Dalam pada itu, Najib turut mempersoalkan adakah pinjaman besar itu di buat susulan harga ‘durian’ melambung naik iaitu dipercayai merujuk kepada usaha membeli Ahli Parlimen.
“Harga durian melambung naik ke apa? Lebih RM160 bilion sudah dipinjam, dijual dan dikorek oleh kerajaan PN sejak permulaan tahun 2021. Tapi Rakyat dapat sikit sahaja. Pencapaian ke laut,” katanya.
Jun lalu, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, kerajaan akan meminjam sehingga RM35 bilion dari dalam negara untuk membiayai inisiatif rangsangan ekonomi menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang keseluruhannya bernilai RM295 bilion.
Tengku Zafrul berkata, daripada keseluruhan nilai inisiatif itu, sejumlah RM45 bilion akan disuntik terus oleh kerajaan dengan RM35 bilion akan dikumpulkan daripada pinjaman tempatan.
Beliau berkata, Malaysia tidak akan mengeluarkan sebarang bon dalam denominasi mata wang asing untuk membiayai suntikan fiskal memandangkan negara mempunyai kedudukan mudah tunai yang kukuh. – Malaysiapost

