PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang meraih pingat perak kepada kontinjen negara dalam acara keirin Sukan Olimpik Tokyo di Velodrom Izu, sebentar tadi.
Perdana Menteri berkata, kejayaan ini tentunya menambahkan keceriaan buat kontinjen negara sebelum temasya sukan tersohor ini melabuhkan tirainya.
“Syabas The Pocket Rocketman. Biar apa pun warnanya, kilauan pingat yang dikutip di pentas sukan terbesar ini tentunya memberi makna cukup signifikan buat anda dan juga negara apabila melihat Jalur Gemilang dinaikkan,” katanya.
Perdana Menteri berkata, seluruh rakyat Malaysia pastinya amat berbangga dengan aksi dan semangat tidak mudah mengalah yang anda tunjukkan.
“Saya turut merasa sayu melihat tangisan kemenangan sebentar tadi. Kami di Malaysia amat memahami perasaan serta kesukaran yang anda lalui sepanjang temasya ini. Terima kasih saya ucapkan atas segala pengorbanan anda demi negara.
“Syabas juga kepada Menteri Belia dan Sukan, YB Datuk Seri Reezal Merican, barisan kejurulatihan dan seluruh kontinjen Malaysia atas kejayaan ini,” katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin berharap Muhammad Shah Firdaus Sahrom supaya tidak patah semangat kerana gagal mengiringi Azizulhasni ke peringkat akhir.
“Iltizam dan semangat ‘Demi Malaysia’ yang dipamerkan apabila sanggup mengetepikan kesakitan yang dialami semasa di peringkat saringan dan suku akhir dengan sendirinya membuktikan anda adalah wira yang perlu disanjungi. Terima kasih Shah Firdaus,” katanya.
Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam hantaran Facebook juga menucapkan tahniah kepada Azizukhasni di tas kejayaan berkenaan.
“Pingat perak! Tahniah jaguh lumba basikal kita, Azizulhasni Awang! Bangga dengan kejayaan Azizulhasni!,” tulisnya.
Kredit Foto: FB/Azizulhasni Awang

