BILANGAN kes kemasukan hospital baharu yang bergejala digunakan sebagai satu daripada indikator peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menteri Penyelaras PPN, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan nasihat pakar kesihatan dan pengalaman antarabangsa serta domestik.
Menurutnya yang merupakan Menteri Kewangan, ia juga dibuat berdasarkan penelitian bahawa risiko penularan Covid-19 menurun seiring dengan peningkatan kadar vaksinasi penduduk dewasa.
“Majlis Pemulihan Negara (MPN) juga memutuskan indikator tersebut hanya akan menggantikan indikator sedia ada iaitu bilangan kes Covid-19 harian baharu apabila vaksinasi sesebuah negeri dalam fasa satu mencapai kadar sekurang-kurangnya 50 peratus penduduk dewasa.
“Penanda aras bagi kes bergejala yang digunakan adalah berdasarkan kemasukan harian ke hospital bagi jumlah kes pesakit dalam kategori tiga, empat dan lima,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, dalam penilaian untuk peralihan daripada satu fasa kepada fasa selanjutnya, ia masih tertakluk pada keperluan memenuhi kesemua indikator termasuk penggunaan kapasiti unit rawatan rapi (ICU) dan kadar vaksinasi penduduk dewasa.
“Contohnya, bagi Lembah Klang, Johor, Negeri Sembilan, Kedah dan Melaka yang masih berada di fasa satu apabila mereka mencapai kadar vaksinasi sekurang-kurangnya 50 peratus penduduk dewasa, indikator kes yang akan digunapakai ialah kes kemasukan hospital baharu yang bergejala.
“Seterusnya, negeri ini hanya boleh beralih ke fasa dua jika mencapai nilai ambang kes kemasukan hospital baharu yang bergejala (6.1 per 100,000 penduduk) dan tahap kapasiti penggunaan ICU (sederhana),” katanya. – Malaysiapost

