UMNO menegaskan telah wujud satu harapan yang sah atau ‘legitimate expectation’ oleh atas Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk memperakukan penangguhan pemilihan parti.
Perkara itu dijelaskan oleh Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan yang berkata, berdasarkan rentetan kronologi surat menyurat antara parti itu dengan ROS, tiada lagi isu berbangkit berhubung penangguhan pemilihan parti selama 18 bulan.
“Seperti pihak ROS sedia maklum, MKT (Majlis Kerja Tertinggi) telah pun membuat keputusan menangguhkan pemilihan untuk tempoh 18 bulan selaras dengan Fasal 10.16 Perlembagaan Umno melalui surat Umno kepada pihak ROS bertarikh 24 Jun 2021 (Rujukan: UMNO/R/SUA/ROS/2012-17).
“MKT telah membuat keputusan secara majoriti melalui resolusi pekeliling dan dalam menjalankan kuasanya menurut Fasal 10.16 yang bersetuju untuk menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan bermula 30 Jun 2021,” katanya dalam sidang media secara maya, hari ini.
Menurut Ahmad Maslan, Perlembagaan Umno tidak menyebut secara khusus berkenaan dengan kaedah untuk MKT membuat sesuatu keputusan.
“Oleh itu, keputusan MKT telah dibuat berdasarkan suara majoriti. 52 daripada 56 Ahli MKT telah bersetuju agar pemilihan parti ditangguhkan.
“Pada bulan Jun 2021, mesyuarat MKT secara bersemuka tidak dapat diadakan kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh atau total lockdown akibat pandemik Covid-19.
“Pihak ROS juga telah memperakui penerimaan surat Umno bertarikh 24 Jun 2021 melalui surat ROS bertarikh 19 Julai 2021 (Rujukan: PPM/WKL 251/88 JLD.10(25)) yang antara lain telah menyatakan bahawa pihak ROS tidak mempunyai halangan terhadap penangguhan pemilihan parti Umno dan keputusan ini adalah mematuhi Fasal 10.16 Perlembagaan Umno,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Maslan berkata, keputusan mesyuarat MKT pada 7 Julai 2021 yang dimaklumkan kepada pihak ROS melalui surat UMNO bertarikh 30 Julai 2021 (Rujukan: UMNO/R/SUA/ROS/2021-18) hanyalah untuk mengesahkan keputusan MKT yang dibuat terlebih awal melalui resolusi pekeliling pada 18 Jun 2021.
“Pentafsiran yang diberikan oleh Peguamcara Umno terhadap Fasal 10.16 Perlembagaan Umno adalah dengan jelas menyatakan bahawa penangguhan pemilihan Umno adalah kuasa mutlak MKT dan oleh sebab itu, UMNO hanya perlu memaklumkan kepada pihak ROS.
“Sehubungan dengan itu, isu yang dibangkitkan oleh pihak ROS pada surat bertarikh 6 Ogos 2021 yang berpandangan bahawa tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 telah tamat pada 30 Jun 2021 adalah tidak lagi berbangkit,” katanya. – Malaysiapost

