
PELUMBA basikal trek negara, Shah Firdaus Sahrom disahkan tidak mengalami kecederaan serius, sekali gus boleh bertarung dalam saingan suku akhir acara keirin, Sukan Olimpik, esok.
Memetik Astro Arena, Shah Firdaus disahkan tidak mengalami keretakan bahu dan patah tulang rusuk selepas menjalani pemeriksaan MRI di hospital sebentar tadi.
Bagaimanapun, keputusan sama ada dia akan dibenarkan untuk berlumba mengiringi Datuk Azizulhasni Awang hanya akan diketahui sebelum perlumbaan itu, esok.
Pelumba negara telah mengalami kemalangan dalam saringan kedua acara itu sehingga tidak dapat meneruskan perlumbaan selepas ia dimulakan semula.
Namun, Shah Firdaus mempamerkan semangat juang tinggi dan melawan kesakitannya untuk meraih tempat kedua peringkat repechage, sekali gus layak untuk bersaing di peringkat suku akhir. – Malaysiapost.
