MENTERI Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyeru semua rakyat Malaysia mendoakan kejayaan pasukan berbasikal trek negara dalam Sukan Olimpik 2020, esok.
Malaysia dilihat memiliki harapan cerah untuk meraih pingat emas sulung menerusi Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang mara ke saingan suku akhir keirin.
“Saya menyeru semua rakyat Malaysia mendoakan kejayaan pasukan berbasikal trek negara esok. Ayuh kita bersama-sama memberi sokongan padu kepada mereka.
“Jijoe akan kembali ke Velodrome Izu esok bersama Shah Firdaus untuk meneruskan saingan suku akhir demi mencari pingat kedua untuk negara Malaysia,” katanya di Facebook hari ini.
Azizul melepasi pusingan saringan dalan acara kegemarannya, keirin dengan mudah apabila mengungguli saringan kedua sekali gus layak ke peringkat suku akhir, esok.
Bagaimanapun, Shah Firdaus terpaksa menempuh aksi dramatik sebelum memastikan dirinya layak beraksi lagi di Velodrom Izu esok apabila bangkit menduduki tempat kedua dalam saingan repecharge.
Terdahulu, Shah Firdaus terpaksa beraksi dalam kesakitan susulan mengalami kecederaan selepas terjatuh dalam saingan peringkat saringan. – Malaysiapost
Foto Kredit: Fb/Reezal Merican Naina Merican

