MENTERI Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor memohon maaf terhadap gurauan keterlaluannya berkaitan kontena jenazah Covid-19 sehingga mendapat kecaman banyak pihak.
Muhammad Sanusi berkata, kenyataan gurauan mengenai kontena jenazah Covid-19 itu ditularkan di luar konteks dalam sidang media berkenaan.
Beliau berkata, gurauan berkenaan yang diakui kasar itu sebenarnya adalah untuk wartawan yang membuat liputan dalam sidang akhbar berkenaan memandangkan hubungannya dengan warga media dianggap sebagai ‘keluarga’.
“Saya memohon maaf kerana kenyataan saya semalam sudah diviralkan di luar konteks. Saya sebenarnya suka bergurat tetapi gurauan saya semalam itu agak kasar.
“Saya bergurau dengan wartawan tetapi dianggap bergurau dengan semua orang, hingga diviralkan. Sebenarnya wartawan adalah seperti sebahagian keluarga dalam kerjaya ini dan mereka tahu karakter saya,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Muhammad Sanusi berkata, beliau meminta maaf kerana menyebabkan ada pihak yang terasa hati dan tersinggung dengan gurauan tersebut.
“Tetapi disebabkan dah masuk kamera, nasib sayalah. Ramai juga yang hantar mesej mencela tetapi saya terima sebagai adat dalam kerjaya saya ini, ada yang suka ada yang benci,” katanya.
Semalam, Malaysiapost melaporkan, gurauan Menteri Muhammad Sanusi Md Nor berkaitan kontena jenazah Covid-19 mendapat kecaman netizen.
Muhammad Sanusi sebelum ini meminta rakyat di Sungai Petani untuk menjaga diri dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Penduduk di Sungai Petani perlu berjaga-jaga SOP, jangan masuk hospital…hospital dah penuh,” katanya menerusi rakaman video.
Namun, ketika ditanya wartawan mengenai jumlah kontena jenazah mencukupi di Kulim, beliau menjawab dengan bergurau, “Kontena jenazah mencukupi, siapa nak masuk, bagi nama.”
Berikutan itu, netizen tidak berpuas hati dan marah dengan jawapan yang diberikan itu yang disifatkan sebagai kurang cerdik dan tidak prihatin sebagai seseorang yang memegang jawatan tinggi. – Malaysiapost

