Bayi Siti Sarah stabil, tunjuk perkembangan positif

0
2

“ALHAMDULILLAH pagi ini dia dah buka mata, kaki dah menendang, tangan bergerak aktif,” kata pelakon dan pelawak Shuib Sepahtu berhubung perkembangan bayinya Ayash Affan.

Menerusi Instagram Story, Shuib menjelaskan bayinya yang dilahirkan pramatang itu sudah mula menunjukkan perkembangan positif.

Bayi itu dilahirkan pada kandungan tujuh bulan menerusi pembedahan susulan keadaan isterinya, Siti Sarah Raisuddin yang ditidurkan selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) akibat tahap oksigen menurun, semalam.

“Alhamdulillah, sedikit perkongsian untuk Ayash Affan (bayi baru lahir pramatang tujuh bulan). Dr Faiz HUKM beritahu, Alhamdulillah, pagi ini dia dah buka mata, kaki dah menendang-nendang, tangan bergerak aktif dan keadaan bayi stabil,” tulisnya.

Menerusi hantaran sama, Shuib mengucapkan terima kasih dan doa yang sudah dititipkan buat isterinya dan bayi mereka.

“Ya Allah, syukur. Ini juga berkat doa anda semua yang tak henti-henti mendoakan kesihatan Ayash.

“Saya balikkan doa-doa kalian, semoga anda juga dipermudahkan segala urusan, diberi kesihatan yang baik, terhindar dari segala kemudaratan. Insya-Allah, amin,” katanya.

Terdahulu, Shuib memohon semua pihak memaafkan Siti Sarah seandainya dia pernah membuat kesalahan atau mengguris hati mana-mana pihak sebelum ini.

Menurut Shuib, dia juga meminta pihak yang mengenali isterinya agar menghalalkan makan minum dan mendoakan isterinya yang masih tidak sedarkan diri dipermudahkan urusan.

Lewat petang semalam, Siti Darah selamat menjalani pembedahan untuk mengeluarkan bayi lelaki dalam kandungannya selepas kesihatannya merosot kerana dijangkiti Covid-19.

Namun penyanyi itu belum sedarkan diri dan kini dilaporkan masih berada ICU Pusat Perubatan HUKM.

Pada sesi bacaan Yassin itu juga Shuib mengakui bahawa Siti Sarah sudah memilih nama untuk bayi mereka. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here