Tindakan Umno jatuhkan PN rugikan bangsa, negara

0
1

Dr Hussain Yusri Zawawi

DALAM kebanyakan negara sekali pun, isu tentang kuasa dan politik ini tidak ada titik noktah kerana ianya bergerak selari dengan situasi politik semasa.

Dalam situasi sekarang, saya tidak nampak Umno secara keseluruhan menolak PN tetapi ianya adalah tindak balas daripada sikap diktator Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mempengaruhi kepimpinan Umno yang lain.

Sikap seperti ini adalah amalan yang tidak subur dalam sistem demokrasi yang akhirnya membawa kepada perpecahan Umno itu sendiri yang tidak setia kepada janji Muafakat Nasional.

Umno dinasihatkan supaya tidak sepatutnya mengulangi krisis dalaman dan mengambil iktibar daripada kes-kes sebelum ini seperti pemecatan pimpinan tertinggi parti, pergelutan dalaman sendiri, penentangan dari pimpinan politik sendiri dan lain-lain sejak penubuhan 1946.

Hala tuju Umno secara umumnya ingin menjaga kebajikan rakyat yang sekarang berdepan dengan pendemik Covid-19 tetapi sebahagian daripada pimpinan Umno juga ingin menjadi Hero dalam politik tanah air untuk mengekalkan status kekuasaan, pengaruh dan kepentingan peribadi walaupun ianya boleh dibincangkan secara muafakat dalam gabungan PN yang terdiri daripada pimpinan politik Umno itu sendiri.

Umno merupakan parti Melayu terbesar dan mempunyai sejarah yang panjang memerintah Malaysia sehinggalah tumbang pada Pilihan Raya Umum Ke-14. Sejarah tersebut sepatutnya dijadikan pengajaran untuk menimbang semula tindakan dengan situasi politik dan kematangan rakyat pada era ini.

Kejayaan Umno pada masa akan datang perlu mengambil kira isu-isu integriti, personaliti dan individu tertentu yang sekarang pun hangat diperkatakan. Rakyat Malaysia telah matang dan anak-anak muda boleh menilai kepimpinan terbaik sekarang jika pimpinan politik masih tidak berubah dengan cara lama.

Umno perlu bekerjasama dan bersatu demi kemaslahatan rakyat dan negara yang berdepan dengan situasi Covid-19 ini.

Tindakan menjatuhkan PN adalah tindakan yang tidak matang dan rugi kepada bangsa dan negara sendiri. Umno sepatutnya memberikan kepercayaan kepada pimpinan politiknya dalam gabungan PN untuk menerajui negara disamping menyalurkan idea-idea yang bernas melalui saluran yang betul bagi mengelakkan konflik demi untuk negara tercinta.

Penulis merupakan Ketua Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa UniSZA

(Artikel ini disiarkan tanpa suntingan dan ia tidak semestinya mewakili pendirian Malaysiapost)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here