POLIS mengesahkan menerima 10 laporan berhubung kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa ada pihak yang mencetus kemelut politik ketika ini kerana keenganannya mencampuri urusan mahkamah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata susulan itu satu kertas siasatan dibuka Bukit Aman bagi menjalankan siasatan lanjut membabitkan kesemua laporan yang diterima polis.
“Saya boleh sahkan setakat ini sebanyak 10 laporan polis telah diterima oleh Bukit Aman. Kita kini sedang giat melakukan siasatan mengenai perkara ini dalam pelbagai sudut.
“Setakat ini, kita belum lagi panggil dan rakam keterangan mana-mana individu bagi membantu siasatan kes berkenaan,” katanya seperti dilapor MalaysiaGazette hari ini.
Sebelum ini, Pemuda Umno Bahagian seperti Pasir Puteh, Tambun, Kampar, Langkawi dan Alor Setar membuat laporan polis berhubung isu terbabit.
Rabu lalu, Muhyiddin mendakwa kemelut politik yang melanda negara sengaja dicetuskan oleh pihak tertentu yang cuba menangguk di air yang keruh.
Perdana Menteri berkata, mereka kurang senang dengan ketegasan beliau tidak melayan beberapa tuntutan termasuk desakan supaya mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah. – Malaysiapost

