Isu pemilihan Umno: Pemuda Umno persoal intergriti ROS

0
2

PEMUDA Umno mempertikaikan tindakan Pertubuhan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengeluarkan dua surat berbeza berhubung isu penangguhan pemilihan parti itu dalam tempoh sebulan.

Ketua Pemudanya, Datuk Dr Asyaraf Wajdi Dusuki berkata, bagaimana ROS boleh secara tergesa-gesa semalam mengeluarkan surat baharu mengatakan keputusan penangguhan adalah tidak sah.

Asyraf Wajdi berkata, sebagai agensi kerajaan ROS tidak wajar dijadikan alat terbaru Bersatu untuk membunuh seteru politik parti itu.

“Permohonan Umno untuk menangguhkan Mesyuarat Perwakilan kepada ROS bertarikh 24 Jun 2021 telah dibalas melalui surat bertarikh 19 Julai 2021.

“(Surat itu) menyebut ‘Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) tiada halangan terhadap keputusan MKT Umno bagi menangguhkan pemilihan MKT, Bahagian dan Cawangan dalam tempoh 18 bulan bermula 30 Jun 2021 dan mendapati ia adalah mematuhi Fasal 10.16 Perlembagaan Umno

“(Jadi) mcam mana tiba-tiba boleh keluar dua surat berbeza daripada ROS tidak sampai sebulan?,” katanya dalam hantaran Facebook.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata, Peguam Umno telah menjelaskan segala keputusan penangguhan dan permohonan kepada ROS yang dibuat masih mengikut prosedur.

Katanya, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan juga telah mengutuskan jawapan balas kepada ROS bagi menjernihkan kekeliruan.

“Justeru, buat Ahli-Ahli Umno jangan bimbang! Usaha mengharamkan Umno tahun lepas juga gagal setelah keputusan Mahkamah Persekutuan berpihak kepada kita, Alhamdulillah.

“Kali ini insyaAllah, peguam-Peguam Umno punya hujah lebih kuat untuk mencabar ROS kerana keputusan penangguhan dibuat setelah merujuk kepada MKN, KKM dan ROS sendiri dan semua rekod didokumentasikan dengan sempurna, bahkan semua keputusan adalah mengikut prosedur dan Perlembagaan Umno,” katanya.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, beliau berharap pemimpin Umno akan dibukakan hati agar tidak bersekongkol dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Moga dibukakan hati pemimpin-pemimpin Umno agar tidak bersekongkol dengan Kerajaan PN yang bukan sahaja gagal menguruskan hal kebajikan rakyat di kala Pandemik tapi sanggup derhaka kepada Raja bahkan menyalah-gunakan agensi-agensi Kerajaan demi mengekalkan kuasa,” katanya.

Semalam, ROS menetapkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada 7 Julai lalu untuk menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan adalah tidak sah.

Ketua Pengarahnya, Jasri Kasim berkata, ketetapan itu dibuat berikutan tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 tamat pada 30 Jun lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here