Video pegang pistol tular, 3 lelaki ditahan

0
2

POLIS menahan tiga lelaki selepas dikesan memiliki senjata tiruan menyerupai pistol semi-auto yang videonya tular di media sosial semalam.

Suspek yang berusia lingkungan 20 hingga 22 tahun itu ditahan dalam dua lokasi berasingan di Ipoh, Perak pada jam 2.30 petang dan 7 malam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata rakaman video berdurasi 12 saat yang tular itu memperlihatkan seorang lelaki memegang senjata menyerupai sepucuk pistol di hadapan sebuah rumah bersama dua rakan lain.

Beliau berkata, perbuatan itu telah mendatangkan kegusaran kepada masyarakat terhadap keselamatan awam.

“Polis mengesan rakaman video tular itu menerusi aplikasi WhatsApp pada Jumaat sekitar jam 1.30 petang dan pada hari sama, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) berjaya mengesan dan menangkap dua remaja terlibat yang ketika itu berkeliaran menunggang motosikal di Jalan Kampung Paloh, Ipoh.

“Dalam penahanan itu, polis turut berjaya merampas satu senjata tiruan menyerupai senjata api jenis pistol semi-auto.

“Siasatan kemudiannya membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki terlibat pada hari sama,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, hasil siasatan awal, ketiga-tiga lelaki itu mengaku membeli pistol tiruan tersebut dan berkumpul di hadapan sebuah rumah sambil minum minuman keras pada 5 Ogos lalu.

Katanya, ketika kejadian, seorang daripada mereka mempamerkan pistol tiruan yang dimiliki sebelum dirakam oleh rakan lain dan ditularkan.

“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki senjata tiruan tanpa lesen sah.

“Polis menasihatkan orang ramai agar tidak sesekali cuba menularkan sebarang aksi dan perbuatan yang boleh mengganggu gugat keselamatan awam,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here