PELAKON dan pelawak Shuib Sepahtu memohon semua pihak memaafkan isterinya Siti Sarah Raisuddin seandainya dia pernah membuat kesalahan atau mengguris hati mana-mana pihak sebelum ini.
Menurut Shuib, dia juga meminta pihak yang mengenali isterinya agar menghalalkan makan minum dan mendoakan isterinya yang masih tidak sedarkan diri dipermudahkan urusan.
“Saya minta maaf sekiranya Sarah ada menyakiti sesiapa, halalkan makan minumnya dan doakan agar dipermudahkan perjalanannya.
“Teruskan berdoa untuk Siti Sarah, untuk anak dan keluarga. Teruskan berdoa untuk semua orang dan tolong jangan lupa selitkan nama Sarah dalam doa semua,”katanya setelah selesai majlis bacaan yassin secara maya malam tadi.
Katanya, dia yakin bahawa kesihatan isterinya akan pulih dan kembali semula ke pangkuan keluarga.
Sebagai suami, Shuib meletakkan harapan tinggi untuk melihat isterinya sihat dan dapat berkumpul semula seperti biasa.
“Saya yakin Siti Sarah kuat, saya yakin Siti Sarah akan balik ke rumah ini,” ujarnya.
Siti Sarah pada lewat petang semalam selamat menjalani pembedahan untuk mengeluarkan bayi lelaki dalam kandungannya selepas kesihatannya merosot kerana dijangkiti Covid-19.
Namun penyanyi itu belum sedarkan diri dan kini dilaporkan masih berada di Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).
Pada sesi bacaan Yassin itu juga Shuib mengakui bahawa Siti Sarah sudah memilih nama untuk bayi mereka.
“Dia memang nak sangat anak kami dinamakan Ayash Affan. Doakan Ayash Affan jadi anak yang soleh, doakan dia kuat untuk bertahan dalam masa dua bulan ini,” katanya.
Shuib menerusi hantaran InstaStory pagi ini memberitahu isterinya masih memerlukan bantuan alat pernafasan dan masih tidak sedarkan diri.
Dalam hantaran itu juga dia memaklumkan pada jam 11 malam tadi oksigen dalam badan isterinya menurun sehinga 40, namun menerima pemberitahuan terkini daripada pihak hospital bahawa kadar oksigen isterinya meningkat ke 80.
“Saya harap semua yang melihat post ni terus mendoakan dia dan anak ya. semoga kalian dipermudahkan urusan dunia akhirat.– Malaysiapost
Artikel berkaitan :

