Umno Bahagian Bera sokong Ismail Sabri kekal dalam kerajaan PN

0
3

UMNO Bahagian Bera termasuk sayap Pemuda, Puteri dan Wanita sebulat suara menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk kekal dalam kerajaan sebagai Timbalan Perdana Menteri agar usaha menangani pandemik Covid-19 dapat diteruskan.

Umno Bahagian itu dalam kenyataannya, berkata keputusan secara kolektif itu dilakukan setelah mengambil kira beberapa faktor antaranya menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya usul untuk membahas Ordinan Darurat hendaklah dibawa dalam sidang Parlimen yang dijadualkan pada September nanti.

“Hal ini bermakna kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin masih absah sehingga persidangan Parlimen yang seterusnya yang akan menentukan sama ada kerajaan PN mempunyai sokongan ataupun tidak.

“Pada masa yang sama, adalah tidak rasional untuk Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meletakkan jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong turut memperkenankan agar Jemaah Menteri dan jentera pentadbiran kerajaan terus berfungsi untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat serta negara, khususnya dalam menangani pandemik Covid-19,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Umno Bahagian Bera menyifatkan tindakan peletakan jawatan adalah satu bentuk penderhakaan yang jelas terhadap Yang di-Pertuan Agong kerana membelakangi titah serta akan mensia-siakan segala usaha menangani Covid-19.

“Yang Dipertuan Agong juga telah memperkenankan usul undi percaya di bawa ke Parlimen untuk mengabsahkan sokongan MP kepada kerajaan.

“Menarik diri dari kerajaan sekarang bermakna mensabotaj titah Tuanku dan ini dianggap sebagai menderhaka kepada Tuanku.

“Justeru, tindakan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sengaja mencetuskan ketidakstabilan politik dilihat sebagai mementingkan diri,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, isu utama sekarang adalah negara berdepan dengan Covid-19 dan kecelaruan politik akan mengganggu kelancaran untuk menangani pandemik serta memulihkan sosioekonomi.

“Jadi, Umno Bahagian Bera menolak sebarang usaha yang mencetuskan kecelaruan politik demi kepentingan politik sesetengah pihak.

“Semua pihak sepatutnya memainkan peranan dalam memulihkan negara dalam konteks ekonomi, sosial dan politik khasnya membantu kerajaan dalam mencapai imuniti kelompok yang semakin hampir,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here