Nurul Huda Abhar
TINDAKAN Datuk Seri Dr Noraini Ahmad meletak jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi dan Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan akan menjadi teladan dan ikutan yang baik kepada semua Ahli Parlimen Umno yang masih mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata adalah tidak wajar untuk terus menyokong kepimpinan dan kerajaan yang sudah kehilangan kepercayaan dan rasa hormat rakyat serta tiada sokongan majoriti.
“Saya merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Ahli Parlimen Parit Sulong yang mengambil pendirian berprinsip meletak jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi, Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan hari ini.
“Keputusan tersebut selari dengan ketetapan yang dibuat oleh Umno untuk menarik sokongan ke atas Perdana Menteri dan Kerajaan PN yang telah gagal menguruskan krisis ekonomi dan ancaman pandemik Covid-19 dengan baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau pada Rabu lalu juga meletak jawatan sebagai Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif Boustead Holdings Berhad berkuatkuasa semalam.
Mohamed Khaleed turut mengucapkan terima kasih kepada Noraini kerana memilih untuk bersama dengan Umno dan tidak mementingkan jawatan dalam kerajaan.
“Tahniah dan terima kasih kerana percaya dan memilih untuk bersama dengan parti serta tidak mengutamakan jawatan atau kedudukan dalam sebuah Kerajaan yang dilihat gagal oleh rakyat,” ujarnya.
Hari ini, Ahli Parlimen Parlimen Parit Sulong itu mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi dan Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan berkuatkuasa serta-merta.
Noraini dalam kenyataan memaklumkan, selaku Ketua Wanita Umno beliau akur terhadap keputusan Majlis Kerja Tertinggi Umno pada 3 Ogos lalu.
Noraini adalah Menteri Kabinet kedua meletakkan jawatan selepas Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah melakukan perkara sama Selasa lalu. – Malaysiapost

