“Itu sekadar tanda tangan hadir mesyuarat, bukan sokongan” – Noh Omar

0
2

Nurul Huda Abhar

AHLI Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar hari ini mengakui hadir ke perjumpaan tergempar Ahli-Ahli Parlimen Umno yang diadakan pagi tadi dan menandatangi borang kehadiran mesyuarat tersebut.

Bagaimanapun, beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor menegaskan tanda tangan tersebut hanyalah bukti kehadiran mesyuarat berkenaan dan bukan menunjukkan keputusannya sama ada memberi sokongan atau tidak terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Saya pagi tadi dipanggil berjumpa dengan Ahli Parlimen dan saya hadir, semasa kehadiran itu memang saya ada tandatangan kehadiran perjumpaan.

“Saya nak tegaskan kehadiran tandatangan saya itu tersebar di media sosial. Itu hanyalah tandatangan kehadiran bukan tandatangan sokongan atau akuan sumpah. Itu semata-mata tandatangan kehadiran mesyuarat,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau membuat kenyataan tersebut selepas timbul kekeliruan sejurus sidang media oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengaitkan namanya memberi sokongan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Noh berkata, hasil daripada perbincangan mesyuarat pagi tadi beliau bersetuju bahawa kerajaan PN masih sah sehingga Parlimen bersidang pada September depan bagi menentukan keabsahan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Menurutnya, beliau akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu keabsahan Muhyiddin diputuskan dalam Parlimen dan ianya dipersetujui oleh Perdana Menteri yang berjanji usul percaya akan dibawa ke Parlimen September depan.

“Setakat hari ini saya menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan tunggu sehingga sidang Parlimen melainkan ada keputusan keputusan disebaliknya.

“Saya sebagai Ahli Parlimen akan akur dan patuhi titah Yang di-Pertuan Agong. Pendek kata kita bersetuju bahawa kerajaan yang ada hari ini masih sah dan pengabsahannya diputuskan di Parlimen nanti,” ujarnya.

Tengah hari tadi, seramai 31 Ahli Parlimen Umno membuat keputusan kekal bersama kerajaan PN dan menjunjung titah Yang di- Pertuan Agong supaya kerajaan PN meneruskan pentadbiran dan akan menentukan keabsahan kerajaan di Parlimen.

Menerusi sidang media yang diketuai Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno, berkata perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong jelas mahu Sidang Parlimen diadakan dan sama ada kerajaan PN masih terus berfungsi selepas bulan September akan ditentuan oleh Ahli-Ahli Parlimen.

Pada masa sama, Noh berkata beliau bersetuju bahawa Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hendaklah mengadakan pertemua dan menerangkan keputusan parti kepada Ahli Parlimen supaya menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

“Ini saya setuju kerana saya terlibat dalam dua kumpulan. Pertama iailah Majlis Tertinggi (MT) saya lihat majoriti bukan dari kalangan Ahli Parlimen.

“Golongan Ahli Parlimen pula majoriti bukan MT. Mereka hanya tahu keputusan dan dimaklumkan tetapi Ahli Parlimen ini mahu dapatkan penjelasan kerana mereka tidak terlibat dalam mesyuarat MT,” kata beliau.

Sementara itu, Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim juga memaklumkan tanda tangan yang tular di media sosial adalah tanda tangan kehadiran perjumpaan Ahli Parlimen Umno dan bukannya sokongan kepada kerajaan PN dan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Katanya, beliau hadir ke mesyuarat itu sebagai Ahli Parlimen untuk mendengar perbincangan daripada Timbalan Perdana Menteri.

“Saya menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong justeru akan tunaikan tanggungjawan saya di Parlimen nanti bila dipanggil untuk mengabsahkan kedudukan kerajaan hari ini.

“Harap rakyat Baling jangan keliru dengan dakyah oleh pihak tidak bertanggungjawab yang melaga-laga isu semasa ini berkaitan kehadiran saya dalam perjumpaan dengan Timbalan Perdana Menteri,” katanya.

Terdahulu, Ismail Sabri menerusi sidang media yang diadakan di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur memaklumkan diberi tempoh 48 jam daripada Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan kepada Ahli Parlimen parti itu untuk menentukan sokongan kepada kerajaan PN.

Bagaimanapun, katanya, tindakan tersebut adalah bertentangan dengan undang-undang.

“Kita merasakan tidak boleh keluar arahan tiba-tiba tanpa berjumpa dengan jelaskan kepada kami,” katanya – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here