Nurul Huda Abhar
AHLI Parlimen Barisan Nasional (BN) hari ini membuat keputusan akan kekal bersama Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga keabsahan kerajaan ditentukan Parlimen September ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 21 Ahli Parlimen telah membuat pendirian dan disokong 10 lagi Ahli Parlimen yang tidak dapat menghadiri perjumpaan yang dibuat bermula pagi tadi.
Katanya, terdapat 31 Ahli Parlimen yang menyatakan pendirian yang sama iaitu kekal bersama kerajaan PN.
“Ahli-Ahli Parlimen menjunjung kasih dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong iaitu memperkenan supaya kerajaan hari ini meneruskan pentadbirannya dan akan menentukan keabsahan kerajaan hari ini di Parlimen.
“Kebawah Duli juga memberi perkenan supaya satu usul undi percaya dibentangkan di Parlimen dan ahli Parlimen boleh menentukan pendirian sama ada menyokong atau tidak menyokong usul,” katanya dalam sidang media di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, hari ini.
Ismail Sabri berkata, jelas bahawa Yang di-Pertuan Agong mahu Sidang Parlimen diadakan dan sama ada kerajaan PN masih terus dapat berfungsi ia akan ditentukan Ahli-Ahli Parlimen September ini.
Menurutnya, menerusi titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sudah jelas pihak Istana Negara tidak lagi menerima Akuan Bersumpah (SD) ataupun surat-surat sokongan.
“Walaupun ada kenyataan daripada Presiden Umno yang menyatakan beliau akan menghantar nama, saya rasa bertentangan dengan perkenan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Kami Ahli-Ahli Parlimen yang setia kepada Yang di-Pertuan Agong akan patuh kepada titahnya iaitu apa pun perkara yang berkaitan perlu dilakukan di Parlimen.
“Kami berpandangan perkara lain-lain adalah di luar contohnya menghantar SD, surat akuan termasuklah tindakan yang boleh meruntuhkan kerajaan sebelum Parlimen diadakan,” katanya.
Pada masa sama, menyentuh kepada tindakan beberapa pihak yang disifatkan berniat meruntuhkan kerajaan, beliau menyatakan tindakan tersebut yang sebenarnya menggagalkan hasrat dan titah Yang di-Pertuan Agong.
“Jika tindakan kita meruntuhkan kerajaan bermakna kita yang menggagalkan hasrat dan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia supaya Parlimen bersidang dan keabsahan ditentukan dalam Parlimen.
“Tidak timbul isu Ahli parlimen derhaka dan sebagainya, mungkin yang derhaka adalah pihak melanggar titah Yang di-Pertuan Agong supaya perkara ini dibawa ke Parlimen pada bulan September,” katanya. – Malaysiapost

