PAS kekal sederhana elak jaja fitnah, provokasi melampau – Nik Abduh

0
3

PAS kekal dengan politik sederhana tanpa provokasi melampau dan jajaan fitnah, kata Ahli Parlimen Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Pemimpin PAS itu berkata, PAS akan kekal dengan sikap tidak gelojoh yang hanya akan merosakkan sistem politik negara.

“Jatuh bangun dalam politik adalah tanpa melanggar sunnah Allah dalam kurniaan cebisan ‘kuasa-Nya’ kepada manusia.

“PAS sentiasa berusaha untuk kekal di atas petunjuk agama. Matlamat perjuangan adalah jalan menuju redha Allah,” katanya di Facebook, hari ini.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu menegaskan, tiada mukjizat atau keajaiban daripada usaha manusia di dalam menghadapi pandemik Covid-19.

“Kita diseru bersatu dan berusaha keras. Ia adalah selepas beriman dengan ketentuan-Nya dan sunnah ujian-Nya ke atas manusia.

“Allah maha melihat. Dia-lah pemilik mukjizat dan keajaiban dalam kehidupan manusia. Ia cukup daripada kita untuk Allah.

“Kemudian Allah pasti menghadirkan afiat dan kesejahteraan daripada sisi-Nya untuk kita. Kehidupan akan pulih dan kembali. Ia agar manusia bersyukur dan kekal beringat akan azab dan murka-Nya,” katanya.

Di tengah ketidaktentuan politik negara, PAS tampil menyatakan pendirian konsisten menyokong sepenuhnya kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali gus mengekalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi memberi fokus menangani wabak Covid-19. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here