Anwar puji tindakan Shamsul Anuar lepaskan jawatan

0
2

TINDAKAN Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah melepaskan jawatan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, mendapat pujian Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Pembangkang itu menghamburkan pujian kepada Shamsul Anuar yang mempamerkan sikap sebagai ahli politik yang bermaruah dan berprinsip.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada seorang menteri yang tegas dalam prinsipnya dan mengundurkan diri. Ini jarang berlaku di negara kita,” kata Anwar dalam sidang video di Facebook, hari ini.

Presiden PKR itu menambah, tindakan terpuji Shamsul yang merupakan Ahli Parlimen Lenggong itu ketara berbeza dengan kebanyakan wakil rakyat yang bermati-matian mempertahankan jawatan walaupun menyedari keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipertikaikan.

“Ada orang yang ada jawatan, dia berhuyung-hayang pertahankan hidup mati dia walaupun semua tahu jumlah yang tolak Muhyiddin Yassin sudah minoriti. Tetapi tidak berani suarakan,”katanya.

Dalam pada itu, Anwar membidas pemimpin yang berpayung di bawah nama Islam kerana turut bersekongkol dengan kerajaan yang sudah hilang majoriti susulan lapan Ahli Parlimen Umno mengisytiharkan menarik sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional, Selasa lalu.

“Tidak kira pakaian parti Melayu atau Islam semua bersekongkol. Semoga Allah pelihara kita dan jauhkan negara daripada kerosakan terus,” katanya.

Selasa lalu, Shamsul menjadi Menteri Umno pertama yang melepaskan jawatan dalam Kabinet selaras dengan ketetapan partinya yang menarik balik sokongan terhadap Kerajaan PN dan Muhyiddin. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here