AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mendakwa dipujuk untuk memberikan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum dia di dakwa di mahkamah baru-baru ini.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, dia didatangani oleh Ketua Armada Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad untuk kembali menyokong PN dan Perdana Menteri.
Menurutnya, tawaran itu berlaku sebelum dia didakwa di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur pada 22 Julai lalu dengan dua pertuduhan pecah amanah dana parti Bersatu pada 2014.
Beliau berkata, hari ini dia dituduh dengan dua pertuduhan lagi membabitkan dana yang sama.
“Kalau lihat keempat-empat pertuduhan, ia datang daripada dana parti atau yang dikatakan dana parti yang tiada kena mengena dengan dana Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ketika saya berkhidmat sebagai Menteri Belia dan Sukan.
“Lazimnya kalau ada seseorang itu ingin mencuri dana atau pecah amanah, dia akan pergi ke duit Kementerian khususnya apabila saya berkhidmat di KBS dalam tempoh masa kurang dua tahun atau setahun setengah..Ada lebih RM2 bilion tetapi tiada satu sen pun yang pergi kepada saya.
“Tetapi mereka ingin kembali semula pada 2018, sebelum pilihan raya berlaku untuk katakan duit itu duit parti dan saya katakan ia berlainan,” katanya kepada media di luar Mahkamah Sesyen Johor Bahru, selepas menghadapi dua lagi pertuduhan, hari ini.
Menurutnya, apa yang pelik adalah parti yang mendakwa dia melakukan pecah amanah dan mencuri dana parti, cuba memukulnya untuk kembali menyokong parti.
“Parti sama yang kata saya curi duit mereka, pecah amanah pada tahun 2018 sebelum pilihan raya, Ketua Armadanya yang juga Timbalan Menteri itu Wan Ahmad Fayhsal datang ke rumah saya sebelum saya dituduh untuk pujuk saya kembali menyokong PN dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
“Saya rasa kalian boleh fikirkan kalau betul saya curi duit parti kenapa nak suruh saya kembali menyokong, ibaratnya seperti seorang CEO syarikat yang dituduh pecah amanah, cuti duit syarikat tetapi dalam masa sama syarikat itu masih nak kekalkannya.
“Kalau dah curi..kenapa nak kekalkan? sepatutnya saya memang kena buang. Tetapi ini berbeza,” katanya.
Syed Saddiq menegaskan, dia tidak akan tunduk dengan tekanan politik sedemikian dan akan terus melawan dalam apa jua cara.
“Tekanan politik sebegini ugutan dan sogokan..saya tidak akan tunduk kerana saya percaya saya berada di pihak yang benar.
“Akhirnya nanti saya yakin kebenaran akan terjawab dan saya akan terus lawan dalam apa cara saya mampu,” katanya.
Beliau turut, meminta pihak media mengesahkan dakwaannya itu kepada Wan Ahmad Fayhsal yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan.
“Saya cadangan media boleh bertanyakan perkara ini kepada Wan Ahmad dan kalau dia menafikannya akan ada kenyataan dan tindakan susulan,” katanya.
Syed Saddiq kini berdepan empat pertuduhan dimana pada pada 22 Julai lalu, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, dia dituduh pecah dana parti politik berjumlah RM1 juta dab menyalahgunakan wang sumbangan RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.
Hari ini dia dituduh dengan dua lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan terbabit aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM100,000 juga pada 2018. – Malaysiapost
