63.8 % golongan dewasa di Malaysia sudah divaksinasi

0
2
Warga-warga asing hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) KLCC ketika tinjuan Malaysiapost pagi tadi.

SEBANYAK 22,646,581 dos vaksin Covid-19 sudah diberikan kepada penduduk Malaysia sehingga semalam dan daripada jumlah itu 14,941,585 orang menerima dos pertama, manakala 7,704,996 orang sudah lengkap menerima dos kedua.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata jumlah pemberian vaksin pada semalam sahaja adalah sebanyak 494,214 dos membabitkan dos pertama dan kedua.

“Dos pertama adalah sebanyak 230,053 orang dan dos kedua 264,161 orang,” katanya dalam satu ciapan di Twitter, hari ini.

Sementara itu, berdasarkan data dan infografik yang dikongsinya peratusan keseluruhan penduduk Malaysia yang sudah divaksinasi dengan dos pertama adalah sebanyak 45.8 peratus daripada jumlah populasi penduduk.

Peratusan yang lengkap menerima dua dos vaksin adalah 23.6 peratus, manakala golongan dewasa yang sudah menerima vaksinasi adalah 63.8 peratus dengan 32.9 peratus daripadanya lengkap dua dos.

Lembah Klang membabitkan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya merekodkan pemberian vaksin tertinggi dengan 6,066,032 orang menerima satu dos vaksin, manakala 2,676,746 orang sudah menerima dua dos. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here