Tidak timbul isu PM derhaka

0
2

HUBUNGAN antara Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, amat baik dan tidak timbul isu penderhakaan seperti yang dibangkitkan pihak tertentu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berkata hubungan kedua-duanya sentiasa baik dan sebagai bukti Perdana Menteri tidak pernah gagal di perkenan untuk mengadap, Baginda.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, Muhyiddin arif dengan selok belok pentadbiran dan peri pentingnya menjaga hubungan dengan Istana serta beliau mempunyai menteri-menteri berpengalaman dalam Kabinetnya dan tidak kurang yang mempunyai hubungan amat baik dengan pihak Istana.

“Negara pula mempunyai Ketua Negara yang sangat prihatin soal pemerintahan dan rakyat kerana Baginda seorang Raja yang sangat berjiwa Rakyat.

“Menjadi amalan Perdana Menteri memulakan setiap mesyuarat Kabinet dengan menyampaikan titah dan pandangan Agong. Baginda banyak memberi pandangan dan sentiasa diterima pakai oleh Kerajaan,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, malam tadi.

Annuar berkata, justeru pihak yang melabelkan Muhyiddin sebagai derhaka hanyalah bertujuan politik sahaja serta berpura-pura kononnya setia pada Agong.

“Pihak yang ingin mencuba melabelkan PM sebagai derhaka, atau pura-pura memihak kepada Agong adalah sebenarnya ‘unjuk dan sembah setia’ yang tidak kena pada tempatnya.

“Ia suatu kepura-puraan politik dan ia tidak diminta oleh Istana kerana isu derhaka itu langsung tidak berbangkit sama sekali,” katanya.

Beliau berkata, dengan hubungan baik antara Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong itu membolehkan setiap permasalahan dihadapi mendapat panduan dan titah nasihat serta perkenan Baginda.

“Baginda kekal ‘apolitical’. Kekal memerintah dengan adil dan saksama,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here