Siti Sarah mohon maaf kepada Orang Asli

0
3

PENYANYI, Siti Sarah memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya masyarakat Orang Asli berhubung kenyataannya dalam sebuah video yang tular, baru-baru ini.

Pelantun lagu Semakin itu memberitahu
perkara tersebut tidak disengajakan dan tidak terlintas dihatinya untuk menghina apatah lagi menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.

“Lebih dua dekad berada dalam industri seni tanah air, saya sangat mementingkan etika dalam setiap perkara yang saya lakukan termasuklah setiap posting yang ingin dimuat naik di media sosial.

“Saya percaya segala perbuatan akan menjadi perhatian masyarakat,” katanya seperti dilaporkan Astro Gempak hari ini.

Menurut Sarah, dia juga telah menerima permohonan maaf daripada Pengarah Syarikat House of Ridz Okumura Sdn Bhd, Ridzo Kimura yang memuat naik video tersebut sehingga menjadi tular.

Katanya, manusia tidak pernah lepas dari melakukan kesilapan, jadi dia memaafkan
Ridzo yang memuat naik video perbualan mereka tanpa keizinannya terlebih dahulu sehingga menjadi tular.

Sarah juga isteri kepada pelawak dan usahawan, Shuib Sepahtu turut mengakui kejadian tersebut menjejaskan reputasinya sebagai selebriti dan usahawan.

“Sememangnya insiden yang tercetus, sedikit sebanyak menjejaskan reputasi saya sebagai selebriti dan usahawan.

“Saya mohon isu ini tidak akan diperbesarkan lagi dan kenyataan ini akan menjadi yang pertama dan terakhir dari saya,” katanya.

Siti Sarah menerima kecaman warganet di media sosial apabila tular sebuah video mendakwa dia menghina masyarakat Orang Asli.

Dalam video tersebut, semasa mempromosikan produk rawatan rambut Sarah ada menyebut ‘rambutnya dah rupa orang asli’ . – Malaysiapost