Laporan kononnya Warisan dalam senyap sokong PN fitnah, berniat jahat

0
2
Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Shafie Apdal

PARTI Warisan Sabah (Warisan) kekal utuh dengan prinsip untuk tidak menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Warisan menerusi kenyataan berkata kebersamaan antara Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta tujuh ahli Dewan Rakyat parti itu masih teguh.

Menurut kenyataan itu mereka sebulat suara menggesa dengan tegas agar Perdana Menteri dan Jemaah Menteri pimpinannya meletakkan jawatan dengan segera.

“Pendirian kami ini juga turut dikongsikan bersama oleh Syed Saddiq Abdul Rahman (Muar), Datuk Masir Kujat (Seri Aman), Baru Bian (Selangau) dan Datuk Seri Madius Tangau (Tuaran).

“Apa jua laporan yang menyatakan kononnya Warisan dalam senyap menyokong Perikatan Nasional adalah satu fitnah yang tidak berasas dan berniat jahat,” katanya.

Sehubungan itu, Warisan menekankan agar suatu persidangan Parlimen yang khusus untuk menentukan kedudukan majoriti Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat diadakan sesegera mungkin tanpa perlu menunggu September.

Kata kenyataan itu, sidang bagi membentangkan usul percaya terhadap Perdana Menteri tersebut mesti diadakan bagi membuktikan keabsahan dan juga keraguan yang timbul terhadap kerajaan PN.

“Usul percaya tersebut seharusnya dijadikan keutamaan terpenting dalam sidang Parlimen untuk mencapai penyelesaian segera bagi kemelut politik yang sedang melanda negara pada hari ini.

“Isu ini tidak boleh dicampur-aduk dengan apa-apa jua aturan urusan mesyuarat yang lain termasuklah Rancangan Malaysia ke-12 dan Belanjawan 2022 yang dijadualkan pembentangannya pada sesi September dan November akan datang,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here