PRESIDEN Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Umno telah membuat ketetapan yang amat penting semalam bagi melindungi kedaulatan Yang di-Pertuan Agong dan institusi diraja negara ini.
Beliau berkata keputusan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) amat mustahak demi memelihara keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
Katanya, keputusan selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu dibuat selepas Muhyiddin enggan meletak jawatan.
“Pokoknya Umno sama sekali tidak dapat berkompromi dengan perbuatan kerajaan PN yang menderhaka. Sanggup membelakangi kuasa Seri Paduka Baginda dan menyanggah titah Majlis Raja-Raja Pemerintah.
“Kalau bukan kita, siapa lagi yang akan mempertahankan Kedaulatan Raja-Raja dan Perlembagaan Negara? Sanggupkah kita menggadaikan Keluhuran Perlembagaan serta Kedaulatan Undang-undang Negara?
“Gara-gara sebahagian pimpinan kerajaan ini khuatirkan tentang kedudukan dan jawatan mereka semata-mata,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya.
Ahmad Zahid berkata keputusan Umno petang semalam juga amat kritikal demi menyelamatkan rakyat dan negara, selain menterjemah kehendak anggota masyarakat dan akar umbi parti.
Beliau menegaskan ia juga ketetapan yang tegas oleh Umno yang perlu dilakukan demi kemaslahatan yang besar.
“Umno telah memberi peluang dan ruang secukupnya kepada kerajaan PN sejak negara dilanda pandemik. Bagaimanapun kerajaan ini berterusan gagal membendung penularan Covid-19 dan melindungi rakyat.
“Pelbagai pandangan serta cadangan dilontarkan oleh Umno dan rakyat tidak dipedulikan. Selepas keadaan kian meruncing kerajaan PN seolah-olah cuba ‘menggula-gulakan’ rakyat.
“Mengumumkan beberapa pendekatan populis tetapi ibarat ‘racun’ yang boleh memudaratkan. Umno tidak boleh berpeluk tubuh membiarkan keadaan ini. Rakyat perlukan pembelaan.
“Maka “enough is enough”. Umno telah mengambil pendirian. Kepada Allah SWT kita berserah,” katanya. – Malaysiapost

