BEBERAPA Ahli Parlimen pembangkang hari ini memberi keterangan kepada polis berhubung perhimpunan dihadiri mereka di Dataran Merdeka di ibu negara, Isnin lalu.
Sehingga jam 1 tengah hari tadi, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik; Tony Pua (Damansara), Lim Lip Eng (Kepong) dan Fahmi Fadzil (Lembah Pantai) telah hadir ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur.
Ketika ditemui media, Lip Eng dan Pua mendakwa kehadiran mereka pada Isnin lalu di Dataran Merdeka bertujuan untuk memasuki pejabat Parlimen bagi meneruskan tugas sebagai ahli Dewan Rakyat.
Kedua-dua pemimpin DAP itu berkata, mereka bukannya datang berhimpun di Dataran Merdeka seperti didakwa dan dilaporkan semua pihak.
“Polis tadi tanya siapa penganjur himpunan ahli Parlimen pembangkang Isnin lalu, saya cakap tidak tahu, tidak ada maklumat mengenai penganjur kepada polis tadi.
“Proses rakam percakapan berjalan lancar tanpa masalah dan polis tidak memaklumkan seksyen yang digunakan untuk mengambil keterangan dan menyiasat kami hampir sejam bermula 10 pagi tadi.
“Kami cuba masuk (ke bangunan Parlimen) menerusi semua pintu masuk utama dan alternatif yang ada tetapi semuanya dikepung dan dihalang polis. Kami berkumpul sebab polis dah kepong kami.
“Saya meminta kerjasama polis tanpa membuang masa menyiasat kami atas dakwaan berhimpun, lebih baik menyiasat mereka yang berhimpun di rumah peribadi Tan Sri Muhyiddin Yassin ramai-ramai malam tadi,” kata Lip Eng.
Sementara itu Pua turut memaklumkan beliau disoal mengenai perhimpunan dan penjarakan fizikal.
“Kami bukan berhimpun cuma nak masuk teruskan kerja di Parlimen tapi disekat. Saya berharap polis tunjukan perhatian kes lebih serius daripada menghalang kerja ahli Parlimen,” tegasnya. – Malaysiapost

