Wujudkan Kerajaan Interim, ‘War Cabinet’ – Pemuda Umno

0
2
Jalur gemilang dipasang di sekitar jalan menujuk ke Pejabat Perdana Menteri (PMO) di Putrajaya. Malaysiapost/Sharifudin Abdul Rahim

PEMUDA Umno mencadangkan agar Perdana Menteri Interim yang tidak kontroversi, tidak dianggap ancaman kepada sesiapa dan tiada cita-cita politik untuk menjatuhkan pesaing politik.

Cadangan itu, susulan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan tidak lagi mempunyai majoriti sebagai Perdana Menteri selepas, Umno menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) semalam.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata apabila seorang Perdana Menteri sudah kehilangan majoriti, apa yang akan berlaku menurut Perlembagaan adalah dia boleh pilih untuk sama ada meletakkan jawatan atau menasihati Agong untuk membubarkan Parlimen.

“Namun Agong mempunyai kuasa di bawah Perlembagaan Perkara 40(2) untuk tidak memperkenankan permintaan pembubaran Parlimen atas alasan keadaan pandemik Covid-19.

“Agong boleh menggunakan kuasa di bawah Perlembagaan Perkara 40 (1) melantik seorang Perdana Menteri baharu mengikut budi bicaranya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, Agong boleh melantik sesiapa sahaja di kalangan 220 Ahli Dewan Rakyat untuk menjadi Perdana Menteri yang kemudian mempunyai tempoh 60 hari untuk mengabsahkan kedudukannya yang dianggap mempunyai majoriti di Parlimen dengan mengemukakan usul percaya kepada Perdana Menteri.

Beliau berkata, pihaknya juga mencadangkan agar Perdana Menteri Interim jika dilantik kelak mewujudkan ‘War Cabinet’ atau sebuah kabinet sepertimana pengalaman United Kingdom (UK) dalam beberapa peristiwa besar untuk melawan pandemik penyakit tangan dan kuku, ‘Brexit’ dan Perang Dunia di zaman Winston Churchill.

“War Cabinet bersifat inklusif, terdiri daripada wakil-wakil semua parti besar tidak kira kerajaan atau pembangkang.

“Tujuan Kerajaan Interim melalui Perdana Menteri War Cabinet adalah bagi menangani Covid-19, mempercepatkan vaksinasi dan membantu kebajikan rakyat yang kesempitan ketika ini,” katanya.

Menurutnya, Kabinet dikecilkan daripada 70 Menteri dan Timbalan Menteri kepada hanya beberapa atau maksimum 10 Menteri Koordinator dan Kerajaan Interim hanya untuk tempoh tidak lebih 6 bulan.

“Jika imuniti kelompok berjaya dicapai, Perdana Menteri Interim mesti menasihati Agong untuk membubarkan Parlimen bagi diserahkan mandat kembali kepada rakyat untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Sepanjang Kerajaan Interim ini, tidak ada lagi aktiviti ‘horse trading’ (jual beli Ahli Parlimen dan orang politik) dan tiada lagi aktiviti persaingan sengit menggunakan kaedah ugut dan tawaran untuk melemahkan pesaing di kalangan parti-parti lawan.

“Semua parti bekerjasama fokus Covid-19 bukan membina ‘war chess’ sepanjang dalam kerajaan dan gencatan politik untuk seketika sehingga PRU15,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here