POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menerima sebanyak 206 laporan berhubung perhimpunan oleh Ahli-Ahli Parlimen di Dataran Merdeka, Isnin lalu, sebagai reaksi bantahan ekoran penangguhan sidang Parlimen.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata susulan itu satu kertas siasatan dibuka bagi semua laporan terbabit dan akan memanggil individu-individu yang terlibat bagi melengkapkan kertas siasatan.
“Kes disiasat di bawah kesalahan Peraturan 9 dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.
“Kes juga disiasat mengikut Seksyen 21a Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Akta 574) serta Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 ,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Menurutnya, selepas mendapat maklumat bahawa satu perhimpunan akan diadakan di kawasan Parlimen pada Isnin lalu, pihaknya telah mengambil langkah-langkah perlu untuk mengelakkan sebarang perhimpunan daripada diadakan.
“Tindakan itu adalah selaras dengan peruntukan mengikut Peraturan 9 dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021, bertarikh 4 Julai lalu di mana berhimpun dan berarak adalah aktiviti yang dilarang Pemulihan Negara,” katanya. – Malaysiapost

