Nazri, Shahidan, Zahidi rancang ‘langkah Seri Pacific’?

0
1

TINDAKAN Ahli Majlis Kerja Tinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, meletakkan jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli, semalam adalah tanda ahli Umno tidak boleh dibeli dan mengutamakan perjuangan parti.

Menurut Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang juga Ahli MKT Umno, keadaan itu berlaku kerana mereka hanya ada dua pilihan sama ada memihak kepada Yang di-Pertuan Agong atau Perdana Menteri yang dilihat menderhaka kepada Raja.

Beliau berkata, dengan pendirian yang telah ditetapkan Umno diharap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersikap terbuka dan tidak tangguh untuk meletak jawatan.

“Wisel penamat sudah ditiup banyak kali. Tiada lagi masa tambahan. Terus menyepak, bermakna mengheret negara ke arah porak peranda. Ia akan menyulitkan pemulihan.

“Apa yang mereka tidak jangka ialah terdapat 11 Ahli Parlimen Umno menghantar surat kepada Agong dan Speaker menarik sokongan kepada Perdana Menteri.

“Ia menjadi noktah yang mematikan langkah Perdana Menteri, Nazri (Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz) dan Shahidan (Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim,” katanya di Facebook, hari ini.

Menurutnya, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengemukakan enam alasan kukuh yang membuktikan Muhyiddin menyanggah dan ingkar titah Agong.

“Maka Parlimen Umno mesti buat pilihan. Kalau masih ada yang berdegil untuk sokong Perdana Menteri, itu bermakna mereka cari nahas. Tetapi itu hak mereka. Jumlah mereka semakin mengecil,” katanya.

Menurutnya, susulan tindakan yang diambil Umno itu, semalam Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin, mengadakan pertemuan bersama Shahidan dan Nazri Aziz di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur.

“Pokoknya jumlah mereka makin mengecil jika merancang Seri Pacific Move.

“Ada yang mengatakan gempa bumi sudah berlaku. Kesan gempa bumi adalah besar. Banyak yang musnah dan ranap. Ia ambil masa yang lama untuk pulih.

“Maka adilkah, jika Muhyiddin berlengah. Apakah dia mahu gempa bumi susulan yang lebih dahsyat berlaku?” soalnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here