BEBERAPA Ahli Parlimen Umno yang tidak sehaluan dengan keputusan parti menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dikatakan sedang mengadakan pertemuan di tingkat 30 Hotel Sri Pacific, Kuala Lumpur malam ini.
Bagaimanapun pertemuan itu hanyalah untuk sembang-sembang ‘biasa’ dan disahkan oleh Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin.
“Ya memang saya ada di sini. Kami chit-chat biasa saja, tak ada apa pun. Mana ada sign apa-apa pun. Buat apa buat macam tu kerajaan PN bukan jatuh pun.
“Tak ramai pun, just adalah kawan kawan datang kot ada masalah yang boleh dibantu,” katanya kepada Malaysiapost, malam ini.
Terdahulu, tular di media sosial bahawa Zahidi dan Datuk Seri Shahidan Kassim sedang berusaha mengumpul tandatangan akuan bersumpah (SD) menyatakan sokongan terhadap kerajaan PN dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut Zahidi yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, kerajaan PN tidak jatuh dan masih menjadi kerajaan yang sah.
“Hanya ada dua sahaja kerajaan PN boleh jatuh, apabila Perdana Menteri letak jawatan atau undi tidak percaya di Parlimen. Sekarang ni dua-dua tak berlaku.
“Tak ada apa pun berlaku, mana ada kumpul SD pun, minum teh ja ni,” katanya.
Petang tadi, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan kepimpinan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
Sehubungan itu, Umno menuntut Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri secara terhormat dengan segera. – Malaysiapost

