PELAWAK lelaki terkenal berusia 40-an ditahan di sebuah hotel di Kuala Pilah, Ahad lalu kerana dipercayai terbabit kes pemerdagangan manusia membabitkan seorang wanita bagi tujuan eksploitasi seks.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani berkata lelaki berkenaan ditahan dalam serbuan Ops Pintas pada jam 10 pagi hasil maklumat dan risikan.
Menurutnya, sehubungan itu polis menyelamatkan seorang wanita berketurunan Melanau daripada menjadi mangsa pemerdagangan orang bagi tujuan eksploitasi seks.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tempoh tidak melebihi 15 tahun dan boleh dikenakan denda.
“Turut dirampas dalam serbuan tersebut ialah sebuah Perodua Axia, beberapa bungkusan kondom, sejumlah wang tunai dan empat telefon bimbit,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian, hari ini.
Beliau berkata, suspek kini direman empat hari hingga Khamis ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
Menurutnya, selain itu suspek juga dikompaun atas kesalahan rentas negeri tanpa kebenaran di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) ( Pelan Pemulihan Negara) 2021.
“Mangsa telah mendapat perintah perlindungan sementara dan ditempatkan di sebuah rumah perlindungan di Johor.
“Siasatan lanjut berkaitan kes ini diteruskan bagi mengenal pasti rangkaian kegiatan pemerdagangan orang ini,” katanya. – Malaysiapost

