Darah ganjil Rh17 diterbangkan ke Johor

0
4

BEKALAN darah dari kumpulan darah jenis ganjil Rh17 terpaksa diterbangkan dari Sarawak ke Johor, semalam bagi kegunaan seorang ibu mengandung yang akan menjalani pembedahan.

Berkongsi mengenai perkara itu, Jabatan Perkhidmatan Transfusi dan Bank Darah Hospital Umum Sarawak, memaklumkan ia dihantar pada awal pagi dan transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala lumpur (KLIA) sebelum terus ke Johor Bahru.

Menurutnya, di Sarawak, antara kumpulan darah yang jarang ditemui atau mempunyai darah yang ganjil ialah kumpulan darah Rh17.

“Rh17 merupakan darah yang jarang kita jumpa dalam kalangan penduduk di Malaysia, namun di Sarawak darah jenis ini dimiliki pada sebahagian kecil pada etnik Bidayuh.

“Semalam, darah Encik Pehan Majis dihantar ke Johor Bahru bagi kegunaan pesakit ibu mengandung yang akan menjalani pembedahan miliki darah jenis yang sama Rh17,” menurut perkongsian di Facebook Blood Bank Hospital Umum sarawak.

Menurutnya, individu yang memiliki kumpulan darah ganjil hanya boleh menerima darah dari kumpulan penderma darah yang sama, kerana darah kumpulan penderma berbeza boleh mengakibatkan reaksi darah akut yang boleh membahayakan nyawa pesakit.

“Kita doakan pesakit selamat melahirkan anak dengan selamat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here