PM dijangka umum berita baik untuk warga Wilayah Persekutuan – Annuar

0
2

SELEPAS kejayaan Labuan beralih ke Fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN), Kementerian Wilayah Persekutuan yakin Kuala Lumpur dan Putrajaya akan mencapai kejayaan sama bulan ini.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa, berkata Ogos adalah bulan yang penting dalam perancangan pemulihan Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata, selepas berjaya mencapai 80 peratus suntikan dua dos vaksin Covid-19 untuk penduduk dewasa di Labuan pada bulan lalu, wilayah itu kini terus ke Fasa 3 PPN.

“Saya ingin pastikan Kuala Lumpur dan Putrajaya pula mencapai kejayaan yang sama di bulan Ogos ini.

“Insya-Allah kita kekal fokus kepada agenda menyelamatkan rakyat, memerangi Covid-19 dan paling penting memulihkan ekonomi rakyat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka akan mengumumkan sesuatu dalam tempoh dua minggu lagi yang akan membawa kelegaan kepada warga Wilayah Persekutuan.

“Kita cuma perlu kekal fokus membantu rakyat, walau Wilayah Persekutuan adakalanya menyaksikan banyak sandiwara politik di sana sini, namun ia tidak harus mengganggu kita dalam mengutamakan agenda membela rakyat,” katanya.

Perdana Menteri semalam mengumumkan Perlis, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan akan beralih je Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa esok.

Keputusan itu susulan ketiga-tiga negeri dan Wilayah Persekutuan itu telah menunjukkan prestasi yang baik berdasarkan indikator nilai ambang ditetapkan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here