
TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata proses pembatalan ordinan-ordinan darurat oleh Seri Paduka Baginda sepertimana yang disembah nasihat oleh Jemaah Menteri pada 23 Julai 2021 tidak dapat disempurnakan.
Perdana Menteri berkata dengan berakhirnya Proklamasi Darurat pada 1 Ogos 2021, berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, pembatalan ordinan-ordinan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong tidak lagi berbangkit.
“Maka, selaras dengan titah pandangan KDYMM Seri Paduka Baginda dan peruntukan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan, suatu usul untuk membahas dan seterusnya mengungkaikan ordinan-ordinan darurat berkenaan boleh dibawa dalam sidang Parlimen yang dijadualkan berlangsung pada September 2021.
“Usul ini yang akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri esok diharapkan dapat menyelesaikan polemik berkaitan pembatalan ordinan-ordinan darurat secara harmoni dan berperlembagaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Pada 29 Julai lalu, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan dibuat di Parlimen pada 26 Julai lalu bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat, walhal pembatalan belum lagi diperkenan baginda.
Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang diperkenan dan dipersetujui terdahulu dengan Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri idrus Harun pada 24 Julai bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi kenyataan berkata Seri Paduka Baginda menegaskan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) di Parlimen pada 26 Julai adalah tidak tepat dan mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.
Katanya, Seri Paduka Baginda turut menegaskan permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 21 Julai 2021 telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen dan kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan di Parlimen.
Ia bukan saja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara, malah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. – Malaysiapost
