DPMM gesa gencatan politik

0
2
presiden dpmm

DEWAN Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menggesa pemimpin parti untuk melakukan gencatan politik dengan mengenepikan perbezaan dan memberi keutamaan kepada permasalahan dihadapi rakyat ketika ini.

Presidennya, Abdul Halim Husin berkata dengan statistik jangkitan Covid-19 masih kritikal iaitu 15,769 kes baharu dan angka kematian pula 219 orang, semua pemimpin politik haruslah berjiwa besar dan mengenepikan perbezaan politik.

“Ia untuk sementara waktu dan bersatu hati membantu Kementerian Kesihatan (KKM) memerangi penularan Covid-19 sehingga membolehkan sektor ekonomi dibuka seperti sediakala,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, DPMM menyarankan usaha ditumpukan bagi memulihkan segera tahap ekonomi rakyat terutama golongan B40 dan M40 yang bergelut dengan masalah aliran tunai akibat dibuang kerja oleh majikan yang terpaksa gulung tikar terutama syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Ini dibuktikan melalui perangkaan terkini Statistik Tenaga Buruh oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) iaitu kadar pengangguran menjangkau 742,700 orang atau 4.6 peratus April lalu,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau merujuk kaji selidik Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) pada Jun 2021, menyatakan lebih 90 peratus usahawan mikro, kecil, sederhana dan informal atau tidak berdaftar berisiko menutup perniagaan sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan secara berterusan.

Tambahnya, pengumuman Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang menumpukan kepada strategi keluar dari ancaman Covid-19 secara selamat dan sistematik adalah langkah yang patut disokong semua pihak.

Katanya, DPMM turut menyokong usaha kerajaan untuk meringankan beban ke atas kapasiti sistem kesihatan awam, membuka semula sektor ekonomi, dan membenarkan aktiviti sosial dalam tempoh masa enam bulan sehingga akhir tahun ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here