Polis Johor serbu 90 premis judi atas talian

0
2

POLIS Johor menumpaskan beberapa sindiket perjudian atas talian yang beroperasi di negeri itu dalam Op Dadu Khas dalam tempoh dua minggu bulan lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata operasi dijalankan antara 15 Julai hingga 31 Julai lalu, melibatkan semua daerah membabitkan premis rumah kedai yang menjalankan kegiatan berkenaan.

Menurutnya, dalam operasi itu sebanyak 90 premis diserbu dan diperiksa serta seramai 118 orang ditangkap.

“Suspek yang ditahan terdiri 99 penjaga premis perjudian, manakala 19 lagi adalah pemain yang kesemuanya berusia 19 hingga 58 tahun.

“Daripada serbuan itu, Polis Johor merampas telefon bimbit, komputer tablet dan wang tunai bernilai RM200,000,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 46 premis diambil tindakan pemotongan bekalan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan empat premis dibatalkan lesen perniagaan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka.

“Serbuan paling banyak adalah di Johor Bahru Selatan dan sindiket ini sering menukar modus operandi bagi mengelak dikesan polis,” katanya.

Ayob Khan berkata, dari 1 Januari hingga 1 Julai tahun ini, Polis Johor telah membuat 525 serbuan dengan 705 individu ditahan dan keseluruhan wang tunai dirampas adalah RM235,000.

“Permohonan pemotongan bekalan elektrik pula adalah 244 dan setakat ini 74 sudah dipotong. Permohonan pembatalan lesen pula adalah 224 dan yang sudah dibatalkan hanyalah sembilan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here