SEORANG warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua cucunya tahun lalu.
Bagaimanapun, tertuduh yang berusia 62 tahun itu mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Diana Md Razali selepas kertas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan yang dibacakan berasingan, tertuduh yang merupakan seorang peneroka Felda telah melakukan perbuatan itu terhadap mangsa berusia 10 dan 8 tahun.
Perbuatan itu dilakukan antara Ogos hingga September 2020, pada jam lebih kurang jam 11 malam di sebuah rumah di Felda dekat sini.
Berikutan itu tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh dihukum dengan sebat.
Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Harun tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan tertuduh merupakan datuk kepada mangsa.
Tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Intan Athirrah Md Pazir dalam rayuannya berkata, sejak Disember lalu tertuduh tidak lagi berhubung dengan mangsa dan telah memberi kerjasama yang baik dengan polis.
Hakim kemudiannya membenarkan warga emas itu diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh tidak dibenarkan mendekati mangsa. Kes disebut semula 2 September depan. – Malaysiapost

