Tun M dakwa Kerajaan PN terbubar automatik

0
2
Tun Dr Mahathir Mohamed

BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa kerajaan sedia ada secara automatik sudah terbubar dan tidak boleh mentadbir negara apabila gagal mencapai persefahaman antara institusi diraja dan Kabinet.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, keadaan itu telah terbukti menerusi pengumuman kerajaan berhubung pembatalan Proklamasi dan Ordinan Darurat walaupun gagal mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, tindakan pembatalan itu dibuat tidak mengikut lunas perundangan yang betul, selain tidak mematuhi mana-mana peraturan berkaitan yang termaktub.

“Ikut pindaan kita (kerajaan terdahulu) buat sebelum ini, kalau raja (Yang di-Pertuan Agong) tolak maka dewan (Dewan Rakyat) mesti bincangkan sebab penolakan.

“Kalau tiada perubahan (berhubung sebab penolakan), dewan boleh hantar balik kepada raja. Kalau raja tak lulus selama dua bulan, barulah ia jadi undang-undang.

“Bagaimanapun, ini (pembatalan Proklamasi dan Ordinan Darurat) belum dikemukakan kepada Parlimen, selepas tidak dipersetujui raja… (kerajaan) buat pengumuman seolah-olah ia sudah jadi undang-undang,” katanya di Dataran Merdeka, hari ini.

Pengerusi Pejuang itu turut menuntut agar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur daripada jawatannya.

Terdahulu Dr Mahathir bersama puluhan Ahli Parlimen pembangkang berkumpul di Dataran Merdeka sebagai membantah pembatalan Sidang Khas Parlimen hari ini.

Antara yang hadir ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu, Lim Guan Eng, Datuk Seri Mukhriz, Syed Saddiq Abdul Rahman dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, kemudiannya berarak ke Bangunan Parlimen.

Bagaimanapun perarakan itu dihalang oleh pasukan polis dan mereka bersurai secara aman setelah usaha perbincangan dengan menemui kegagalan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here