Ketua Pembangkang doakan Takiyuddin cepat sembuh

0
2

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang dilaporkan dimasukkan ke hospital akibat masalah jantung, lekas sembuh.

“Saya doakan aafiyah buat @takiyuddin61 yang kini baru menjalani pembedahan. Semoga lekas sembuh, insya-Allah,” ciap Ahli Parlimen Port Dickson itu menerusi Twitter.

Media melaporkan, Takiyuddin dimasukkan ke hospital sejak Jumaat lalu, dipercayai akibat masalah kesihatan jantung dialami Setiausaha Agung PAS itu sehingga terpaksa menjalani pembedahan selama tiga jam.

Difahamkan, beliau dimasukkan ke sebuah hospital di Lembah Klang iaitu Pusat Perubatan IHEAL, bersebelahan dengan Mid Valley, Kuala Lumpur.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut mendoakan agar Takiyuddin segera sembuh.

“Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan di hospital untuk rawatan. Sama-sama kita doakan agar diberikan kesembuhan segera,” kata Najib menerusi Facebook.

Minggu lalu, Takiyuddin diasak pembangkang berhubung isu pembatalan Ordinan Darurat yang dijelaskan pada hari pertama Sidang Khas Dewan Rakyat.

Takiyuddin dilaporkan berkata, kerajaan memutuskan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos.

Beliau berkata, kerajaan juga memutuskan berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, semua ordinan yang telah dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat dibatalkan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here