PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata rakyat sedang kecewa dengan kedegilan kerajaan dalam menguruskan pelaksanaan “total lockdown” hingga menyebabkan berlakunya peningkatan kes jangkitan dan kematian akibat Covid-19.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga memetik luahan seorang isteri yang kematian suami akibat jangkitan Covid-19 di Muar, Johor baru-baru ini, yang menyatakan bahawa risiko wabak Covid-19 ini akan disedari jika pihak berkenaan kehilangan nyawa dalam kalangan keluarga mereka.
Dalam luahan itu, wanita berkenaan berkata: “Mereka mungkin tidak mengerti nilai nyawa arwah suami saya yang terkorban kerana mereka tidak mengharungi detik yang kami lalui”.
Ahmad Zahid berkata, setiap insan yang mempunyai naluri dan perasaan pasti luluh hati membaca luahan berkenaan dan ternyata rakyat sedang kecewa dengan apa yang berlaku pada negara hari ini.
“Kita sejak awal mencadangkan supaya buat `total lockdown’ yang ‘total’ untuk menurunkan kadar jangkitan.
“Bantu perniagaan dan pekerja yang terjejas sehingga keadaan stabil. Kemudian risiko dapat dikurangkan secara drastik. Tetapi apakan daya nasi telah jadi bubur. Hampir setiap hari ratusan nyawa terkorban.
“Sebab itu kita bertegas cukup-cukup sudah. Hentikan kegagalan ini. Rakyat tidak mahu ini lagi. Kita sudah tidak tahan,” katanya menerusi Facebook.
Sehubungan itu, beliau berkata, disebabkan perkara tersebut, kerajaan perlu diperbetulkan.
“Ketuanya telah gagal dan membawa pengikutnya sama gagal. Perbetulkan segalanya demi rakyat dan negara.
“Saya fikir rakyat akan ingat apa yang mereka lakukan. Jangan fikir rakyat mudah lupa dan senang digula-gulakan,” katanya. – Malaysiapost

