AHLI Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman meluahkan rasa kesal kerana Ahli Parlimen yang dipilih rakyat dilarang memasuki Parlimen oleh pemerintah yang “tidak terpilih” pagi ini.
Beliau yang juga Ketua Wira Parti Warisan Sabah (Warisan) berkata kerajaan meminta semua pihak agar menggunakan saluran betul dalam menyampaikan pandangan, namun kini saluran yang betul iaitu Parlimen juga telah ditutup.
“Bila bendera hitam dikibar, mereka suruh “guna saluran yang betul”. Bila rakyat protes di jalanan, mereka suruh “guna saluran yang betul”. Akhirnya, saluran yang “betul” pun mereka tutup,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Terdahulu pagi tadi, Ahli-Ahli Parlimen pembangkang cuba berarak ke bangunan Parlimen namun dihalang oleh Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di bulatan berhampiran Dataran Menara.
Beberapa pemimpin pembangkang antaranya Lim Guan Eng, Mohamad Sabu dan Syed Saddiq berusaha berunding dengan pegawai polis, namun usaha itu gagal.
Ahli-Ahli Parlimen pembangkang akhirnya bersurai setelah usaha mereka untuk memasuki bangunan Parlimen gagal.
Sementara itu, Mohd Azis berkata pada 2018, beliau pernah membentangkan usul Peraturan mesyuarat 1(e) (Usul memerintah Ketua Polis Negara memberi kemudahan lalu-lalang kepada ahli-ahli Dewan).
Melalui usul itu katanya, jalan-jalan Masuk Ke Parlimen sentiasa terbuka, tiada halangan untuk Ahli-Ahli Parlimen pergi dan balik, serta tiada kacau bilau di jalan-jalan menuju ke Parlimen.
“(Ia) Dipersetujui oleh semua Ahli-Ahli Dewan Rakyat. Tapi usul ini pun tidak terpakai hari ini.
“YDP Agong, perlembagaan negara, usul yang dipersetujui dalam Dewan Rakyat pun kerajaan hari ini langgar,” katanya yang juga bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika era kerajaan Pakatan Harapan (PH). – Malaysiapost

