Kerajaan perlu laksana tindakan radikal putuskan rantaian Covid-19

0
2

RANTAIAN Covid-19 di negara itu sukar diputuskan sekiranya kerajaan tidak mengambil pendekatan radikal untuk menutup semua sektor terutama kilang dalam tempoh 14 hari.

Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata selagi rantaian virus berkenaan tidak diputuskan selagi itulah kes-akan terus meningkat dan menyebabkan implikasi buruk kepada negara.

“Ia akan menyebabkan sistem perkhidmatan kesihatan kita runtuh (collapse). Frontliners di kalangan doktor, jururawat, petugas kesihatan lain juga ‘burnt-out’ atau kepenatan melampau dan tertekan.

“Peralatan bantuan pernafasan dan kemudahan ICU tidak mencukupi dan kes kematian akan terus meningkat,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Beliau berkata, tindakan radikal itu penting kerana usaha kerajaan untuk mempercepatkan proses vaksinasi juga akan mengambil masa beberapa bulan lagi.

“Dalam tempoh tersebut, kita tidak boleh lagi berkompromi walau satu nyawa. Sedih mendengar saudara terdekat dan sahabat handai terpaksa ditidurkan (lumrahnya tiada lagi harapan).

“Malah, yang lebih menyedihkan doktor pula terpaksa pilih siapa yang hendak diutamakan untuk terus hidup kerana alat bantuan pernafasan tak cukup,” katanya.

Justeru, Asyraf Wajdi berkata, kerajaan perlu memanfaatkan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) 2021 yang masih berjalan selagi ia tidak dimansuhkan di Parlimen.

“Wang RM17 bilion yang ada boleh digunakan bagi membantu salurkan bantuan tunai kepada semua golongan termasuk B40 dan M40 sepanjang penutupan penuh semua sektor tanpa berkecuali selama 14 hari.

“Bertindaklah sebelum keadaan menjadi semakin parah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here