[DUNIA] SERAMAI 17 maut dan puluhan lagi cedera dalam kejadian letupan saluran daripada paip gas di sebuah masjid di Bangladesh.
Memetik laporan Agensi, kejadian berlaku ketika para jemaah hendak menamatkan solat di masjid di daerah Narayanganj.
Puluhan mangsa dikejarkan ke hospital akibat kecederaan teruk terbakar akibat insiden letupan tersebut.
Penyelaras Unit Kebakaran, Samanta Lal Sen berkata menjelang Sabtu petang, 17 orang, termasuk seorang budak lelaki berusia tujuh tahun dilaporkan meninggal dunia.
Menurutnya, angka kematian dijangka terus meningkat kerana kebanyakan mangsa berada dalam keadaan kritikal, sambil menambah sekurang-kurangnya 37 mangsa dengan luka terbakar hingga 90 peratus daripada badan mereka.
Seorang penduduk tempatan, Mohammad Ratan berkata ketika kejadian kepulan asap banyak keluar dari masjid.
“Saya melihat asap keluar dari masjid setelah letupan yang tiba-tiba meledak besar dan kedengaran orang menjerit.
“Ada yang bergolek di atas jalan ketika mereka berusaha memadamkan api pada badan mereka,” katanya.
Pegawai kanan bomba, Abdullah Al Arefin berkata, gas yang terkumpul akibat kebocoran di saluran paip di bawah masjid kemungkinan mencetuskan letupan.
”Kami mengesyaki gas bocor dari saluran paip dan terkumpul di dalam masjid kerana tingkap ditutup. Apabila penghawa dingin dihidupkan, percikan api mungkin mencetuskan letupan,” katanya.
Stesen televisyen tempatan melaporkan akibat letupan itu sekurang-kurangnya enam penghawa dingin di dalam masjid turut meletup dan pihak berkuasa telah memulakan siasatan berhubung kejadian berkenaan. – Malaysiapost

