PELUANG pasangan pelayar negara, Nuraisyah Jamal dan Juni Karimah Noor Jamali untuk ke ‘medal race’ kini sudah tertutup apabila hanya menduduki tempat ke-20 daripada 21 pelayar dalam kategori International 470 (wanita) hari ini.
Kedua-dua pelayar berkenaan meneruskan cabaran dalam perlumbaan ketujuh (Race 7) dan Race 8 hari ini, namun hanya berada di ranking ke-20 dalam Race 7 dan ke-21 di Race 8.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, yang berkongsi mengenai keputusan pasangan pelayar terbabit berkata, walaupun tidak layak ke medal race kedua-duanya akan meneruskan baki dua perlawanan esok.
“Pasangan pelayar negara menduduki tempat ke-20 di Race 7, manakala di Race 8 pasangan ini menduduki tempat ke-21 kerana tidak berjaya menghabiskan perlumbaan akibat dari kerosakan teknikal bot.
“Peluang untuk ke medal race sudah tertutup bagi pasangan pelayar ini apabila sekadar menduduki tempat ke-20 dari 21 pelayar, namun mereka akan menghabiskan baki dua perlumbaan terakhir esok.
“Tidak mengapa, kami tahu kamu sudah buat yang terbaik,” katanya. – Malaysiapost
Foto Kredit: World Sailing

