PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa supaya perpaduan dalam komponen BN perlu dipertahankan walaupun terdapat perbezaan pendapat.
Beliau yang juga Presiden Umno berkata, gabungan Umno dan MCA dalam BN adalah dari dulu, kini dan selamanya.
“Perpaduan BN harus dipertahankan, walaupun ada yang masih berbeza pendapat, tetapi perbezaan ini tidak seharusnya dilihat sebagai kelemahan sebaliknya kekuatan kita.
“Selepas lebih 63 tahun merdeka, perpaduan akar umbi parti komponen BN, Umno dengan MCA masih kuat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkongsi laporan media berhubung kenyataan Pemuda MCA Perak, yang mahukan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan yang dilihat selari dengan pendirian Umno.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut berkongsi mengenai pendirian Pemuda MCA Perak berkenaan dan berpendapat mereka lebih berani bersuara daripada kepimpinan MCA Pusat.
“Agak berbeza dengan MCA Pusat. Biasanya Pemuda lebih berani bersuara,” katanya.
Terdahulu Ketua Pemuda MCA Perak, Daniel Wa Wai How berpendapat, Perdana Menteri perlu berundur bagi mengelakkan negara terus dalam keadaan parah kerana kegagalan menangani Covid-19.
Pendirian itu dilihat bertentangan dengan kenyataan yang dibuat Ketua Penerangan MCA dan MIC secara bersama baru-baru ini dengan menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri untuk terus memimpin negara dalam menangani pandemik Covid-19. – Malaysiapost

