TNB sumbang kontena simpan mayat kepada 2 hospital di Kedah

0
2

TENAGA Nasional Berhad (TNB) menyumbang kontena sejuk beku kepada dua hospital di Kedah untuk menempatkan mayat mangsa Covid-19 di hospital terbabit.

Dua kontena sejuk beku itu masing-masing diserahkan kepada Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, hari ini.

Majlis ringkas sumbangan itu disampaikan Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid kepada Pengarah Hospital Sultanah Bahiyah, Dr Zaiton Udin.

Turut hadir, Pengurus Besar Negeri, Stake Holder Utara, Ir Azmi Mohd Yusof dan Pengurus Negeri Stake Holder Utara, Ku Abdul Razak Ku Ismail.

Manakala, sumbangan di Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani disampaikan Pegawai Khas Pengerusi TNB, Datuk Shahanim Mohd Yusuf dan Muhamad Nur Aizat Noor Azam kepada Pengarahnya, Dr Azlina Muhamad Radzi.

Sementara itu, Mahdzir berkata, TNB mengambil maklum keperluan mendesak kedua-dua hospital berkenaan untuk menempatkan mayat mangsa Covid-19 yang semakin meningkat setiap hari.

“TNB sentiasa peka dengan situasi semasa pandemik Covid-19 ini dan kita ambil maklum akan keperluan hospital tersebut.

“Jadi saya berbincang dengan pihak pengurusan tertinggi TNB untuk kita ambil tindakan segera dalam masa dua hari sahaja kita putuskan untuk menyerahkan sumbangan kontena sejuk beku itu dan saya berterima kasih kepada Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din yang banyak membantu”, katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain kontena sejuk beku, dua unit Alat Penafas Berpemekatan-Udara (PAPR) yang amat diperlukan di HSB turut disumbangkan.

Peralatan khas tersebut digunakan oleh doktor dalam pembedahan kes-kes berkaitan Covid-19.

Keseluruhan sumbangan dua kontena dan dua peralatan tersebut adalah bernilai RM165,000.

“Kita berharap dengan sumbangan daripada TNB itu akan dapat menyelesaikan masalah kritikal yang dihadapi oleh kedua-dua hospital dan juga pada masa yang sama menghilangkan kerisauan orang ramai di negeri ini berkaitan pengurusan mayat mangsa Covid-19″,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here